Isnin, April 04, 2011

april in 2011

sumbernya dari sini

Diari si (Budak) Gemuk

“Ooi badak!” kawan saya memanggil.

Tersengih.

Badak pun, badaklah. Itu satu sahaja yang dia boleh kalahkan saya. Saya badak, dia tidak badak.

Saya mula sedar yang badan saya menjadi semakin montel adalah selepas berkhatan. Maka di sepanjang kehidupan sekolah rendah, memang saya sudah dikenali sebagai ‘budak gemuk’. Bagi yang molek sedikit sebutannya, memanggil saya dengan ‘budak montel’. Semenjak kecil, saya sudah mentakrifkan diri saya sebagai si budak gemuk.

Semasa melangkah kaki ke sekolah menengah, saya memulakan perjalanan sebagai budak gemuk.

Budak gemuk yang tidak pandai bermain bola, dipaksa menjadi goalkeeper pasukannya, berakhir dengan tiang gol saya bagi tiada penjaganya. Bola masuk entah berapa biji, angkara si budak gemuk itu. Pengalaman itu melekat di kepala bagai selama-lamanya.

Mungkin makanan di asrama sekolah menengah banyak membantu saya mengatasi hal ini. Sentiasa tidak berselera untuk makan, dan aktif dengan pelbagai aktiviti, saya semakin kurus dan meninggi. Tetapi dari semasa ke semasa, saya sering marah dengan butang seluar atau peha yang ketat. Masih merasakan diri gemuk, tambahan pula dengan berat badan yang tinggi berbanding kawan yang lain. Baru berusia 17 tahun dan ‘kurus kering’, berat saya 76kg.

DI NEGARA ARAB

“Ayam ke daging?” tanya kawan.

“Macam biasa le. Ayam!” jawab kami.

Berada di Jordan, seperti kebanyakan pelajar Malaysia di luar negara, lauknya hampir setiap hari adalah ayam. Ayam, ayam, ayam dan ayam.

Sesekali kalau ada duit lebih, beli daging.

Sesekali rindukan Malaysia, berusaha beli ikan.

Cuaca sejuk, setiap hari masak sendiri. Makannya kalau di luar bermenukan Maqlubah, Nasi Mandi, Syawarma dan Ayam Masywi, rata-rata kami yang menuntut di negara Arab naik berisi. Jadi montel. Selera Arab!

“Teruk Imam tu kena tadi” kata seorang sahabat.

“Kenapa?” saya tertanya.

“Dia berceramah tentang zuhud, jangan tertipu dengan dunia dan macam-macam lagi, tetapi badannya gemuk perutnya boroi. Kena hentamlah dengan jemaahnya sendiri” cerita beliau.

Kasihan… terkasima saya mendengar kisah sahabat itu yang pulang dari mendengar ceramah di sebuah masjid di Amman. Orang Arab memang begitu. Berterus terang. Khatib pun boleh disanggah semasa berkhutbah di atas mimbar.

Namun entahlah, dialog itu amat melukakan hati saya. Sangat melukakan…

Tetapi kegemukan di kalangan pelajar Malaysia jarang diperkatakan kerana sentiasa boleh disembunyikan. Hidup di sebuah negara yang cuacanya sejuk, saya sendiri jarang berbaju selapis. Sentiasa ada jaket yang disarung. Jaket itulah yang menyembunyikan perubahan fizikal. Saiz seluar yang bertambah satu ke satu, ada sahaja saiz Arab yang boleh dibeli. Selama berada di Jordan, pertambahan berat badan berlaku sedikit demi sedikit.

Badak.

Debab.

Semua itu jadi bahan usikan harian. Nostalgia sekolah rendah dahulu datang semula.

“Allah membenci Qari (pembaca al-Quran) yang gemuk!” tersentak saya membaca hadith ini semasa mengaji subjek Mustalahaat al-Hadeeth.

Oh, hadith palsu rupanya.

Saya lega.

Terlupa bahawa hadith itu palsu, tetapi kegemukan saya masih sebuah realiti.

DI NEGARA ORANG PUTIH

Saya sentiasa melihat diri saya sebagai seorang yang gemuk.

Tidak pernah membayangkan gemuk semasa gemuk itu adalah kurus berbanding gemuk yang akan datang.

Namun setiap hari saya sedar yang saya semakin mula mengubah suai penampilan diri akibat kegemukan. Suka berpakaian gelap, berpakaian dua lapis, semua itu adalah untuk menyembunyikan sebuah kegemukan. Terasa diri gemuk, dan dalam senda gurau diberitahu oleh kawan bahawa saya gemuk.

Di Ireland, semasa bertugas menjadi Imam, sedikit sebanyak tubuh badan saya yang agak besar ketika itu membantu menonjolkan diri sebagai pemimpin pada usia yang muda. Jika saya bertubuh kecil, berwajah kanak-kanak, sukar juga mahu menjabat tangan pengantin untuk dinikahkan. Berkhutbah, berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat, bertubuh besar (gemuk) serba sedikit membantu!

Oh, itu kepercayaannya.

Segalanya teruji apabila saya mahu berumahtangga.

Saya yang selama ini sentiasa menyembunyikan tubuh di balik dua tiga lapis baju, bakal berumahtangga, dan buat pertama kalinya menjadi risau dengan kegemukan diri.

Tatkala runsing dengan pelbagai cabaran menjelang perkahwinan, saya makan ini dan makan itu untuk mengurangkan kegemukan. Ada krim yang diiklankan di TV, khabarnya boleh mengurangkan seinci dua kegemukan jika rajin diguna. Saya beli.

Dengan berat badan 100kg, saya mendirikan rumahtangga.

Pengantin yang gemuk.

Gemukkah saya?

Entahlah.

Apa yang pasti, saya melihat diri saya sebagai seorang yang gemuk.

Namun kehidupan beberapa tahun pertama perkahwinan adalah di luar negara. Jarang makan luar, semua masak sendiri, maka segalanya masih dalam suasana yang sihat.

Best betul kalau dapat pergi pasar malam, kan? Boleh beli kuetiaw kerang, favourite abang tu!” saya mengomel dengan isteri.

Rindukan kampung halaman. 11 tahun hidup di perantauan.

DI MALAYSIA

Malaysia disebut Syurga Makanan.

Apa yang tiada? Semua ada.

Rindu masakan Arab, jom ke Rausyah, jom ke Hadramaut, jom ke Saba’.

Rindu masakan Eropah, spaghetti dan pizza ada di mana-mana.

Selain daripada apa yang dimasak di rumah, corak hidup di Malaysia semakin memburukkan keadaan. Makanan di luar yang macam-macam, dan menjadi pendakwah serta penceramah, hampir setiap hari saya diberi penghargaan dengan diberi makan. Makan, makan,makan dan makan.

Maghrib tidak sempat makan, segera ke tempat ceramah, habis ceramah sudah jam 11 malam kadangkala 12 malam, kemudiannya pasti disusuli dengan jamuan ringan. Siapa yang nak mengubahnya? Ia memang protokol tetap semua majlis. Habis ceramah, jamuan. Sebelum ceramah tadi pun, minum-minum bertemankan karipap.

Gemuk.

Makin gemuk.

Benar-benar gemuk.

Saya mula mengalami kemurungan akibat kegemukan.

Malah ia menjadi faktor utama semasa kemurungan itu saya enggan meneruskan kerja di Institut Jantung Negara. Malu dengan diri sendiri. Melihat diri sendiri sebagai calon pesakit.

Pelbagai supplement dicuba, tidak berhasil. Bersenam, susah sekali. Harapkan tangga stesyen LRT sahajalah pemaksa. Namun ia jauh sekali untuk berfungsi sebagai senaman. Hanya tekanan, berkejar-kejaran dan hiruk pikuk di celah manusia yang bagai lautan.

Masuk ke usia 30′an, fisiologi kita juga mula mengalami perubahan. Berbeza sekali dengan usia 20′an. Jenis dan jumlah makanan, keadaan kerja, cara hidup, semuanya memburukkan lagi keadaan. Membeli baju siap pakai sudah lama ditinggalkan. Kebanyakannya mesti ditempah. Dengan kemampuan kewangan yang meningkat sedikit berbanding zaman belajar, boleh pula mencari pakaian di Ebay. Membeli seluar atau baju besar dari negara orang besar-besar.

DENIAL SYNDROM

Kekesalan datang berkali-kali.

Tetapi tidak cukup kekuatan untuk bertahan.

Pada usia 34 tahun, saya sudah mengalami metabolic syndrom. Seboleh-bolehnya pemeriksaan darah jangan terlalu terpeinci. Berpuasa semenjak jam 9 malam, dengan harapan pemeriksaan darah jam 9 pagi esok bagus. Keputusan ‘normal’ penting untuk memberitahu diri yang semuanya ‘normal’. Walhal setiap inci tubuh sedar, ia jauh dari normal. Jika dahulu boleh berceramah 16 slot panjang-panjang dalam tempoh lima atau enam hari, kini tiga slot sehari sudah bagai hampir terputus nyawa.

Sedar yang segalanya tidak normal, tetapi perlu hidup dalam penafian (denial syndrome) kerana jika mengaku tidak normal, tiada banyak perubahan yang boleh dibuat untuk menormalkan kembali kehidupan.

“Di Malaysia ini, makanannya seperti syurga. Senaman jauh sekali. Hari-hari stress dengan kesesakan jalan raya. Politik pula macam sial. Kombinasi semuanya memang mengundang maut!” saya merungut di Facebook.

Akhirnya saya secara rasmi menjadi pesakit diabetik.

Setelah diet tidak berjaya, saya diarahkan oleh doktor agar memulakan pengambilan ubat.

Setahun lebih, setiap hari saya perlu menelan Metformin serta mengurangkan pengambilan gula. Kurang? Kurang banyak makan? Usahkan gula yang di dalam minuman, di dalam makanan pun banyak gula, ikan bakar yang sepatutnya sihat pun rempah atau sosnya berisi gula. Gula di sana- sini. Syukur Alhamdulillah saya tidak merokok, sedikit sebanyak ia tidak drastik memburukkan kesihatan diri.

BANGKIT DARIPADA KEKECEWAAN

Isteri saya seorang doktor.

Suaminya gemuk.

Ustaz pula tu (seperti ramai ustaz dan ustazah lain yang juga gemuk).

Entah apa yang difikirkannya. Entah apa kesan kegemukan saya kepada psikologi beliau.

Namun saya sendiri mencipta bayangan bahawa semakin saya gemuk, semakin rendah kepercayaan isteri saya bahawa saya boleh berubah.

Di usia 35 tahun, kami mula bercakap tentang takaful, segera membeli rumah, wasiat dan tema-tema yang sepertinya adalah persiapan untuk sebuah kematian.

Mahu mati?

Mahu jandakan isteri yang dicintai?

Mahu yatimkan anak-anak yang dikasihi?

Kalau mati gempa bumi, letupan gunung berapi, ribut taufan atau banjir, tidak mengapa. Ia mengorbankan si gemuk atau si kurus.

Kalau mati kereta dilanggar pemandu gila yang lain, tidak mengapa. Bukan salah kita.

Tetapi kalau mati kerana diri sendiri memandu tidak berhemah, saya yakin kepada derita yang menanti pada kehidupan di kubur dan di Sana nanti. Demikian juga jika mati kerana penyakit-penyakit yang berpunca daripada SESUATU YANG SAYA BOLEH UBAH.

Saya mahu mengembalikan rasa hormat saya kepada diri saya sendiri. Saya yakin walaupun dalam sebulan saya mungkin mempunyai 20 majikan yang berbeza, 20 tukang masak yang berbeza, yang kesemuanya menguasai diri saya, kunci perubahannya masih di tangan saya sendiri.

“Tiada cara lain. Insulin sudah merosot. Kena kurangkan berat badan!” kata doktor di Jabatan Endokrinologi sambil memegang lengan saya, yang mungkin sebesar peha beliau.

Muka saya kelat.

Just do it!

Dengan lafaz Bismillah, saya memulakan program penurunan berat badan ini. Diet 500 kalori sehari, pembetulan hormon, senaman, pembetulan cara tidur, semuanya dihimpun di dalam sebuah regim dengan bantuan seorang doktor. Seluruh kehidupan saya ‘dibentuk semula’. Ia sebuah revolusi. Namun masih semulajadi, dan santun kepada diri, agar kegemukan yang berpunca daripada melanggar Sunnatullah, tidak dibetulkan juga dengan cara yang melanggar Sunnatullah.

Saya mahu menutup diari si (budak) gemuk.

Sebelum diari itu tutup dan tidak buka-buka lagi… oleh sebuah kesedihan yang kekal abadi.

Kegemukan adalah penyakit.

Salah makan adalah maksiat.

Mendurhakai Sunnatullah.

Mengurangkan berat badan adalah sebuah Taubat. Memberhentikan hidup dalam penafian. Kembali kepada sebuah kejujuran.

Jujur dengan diri sendiri.

Wallahu al-Musta’aan…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

================================================

enrti Ustaz Hasrizal ini sangat mendalam. dan saya sedar yg saya memanglah tergolong di dalam golongan gemuk.

saya tahu saya gemuk tapi amatlah terluka apabila perkataan 'gemuk' itu dikata di hadapan muka saya. as if i prayed for this. as if i wish for it. as if i made myself to become 'gemuk' and waiting for people to kutuk2 in front of my face.

saya tahu hakikat saya terbaca entri 'Diari si(Budak) Gemuk' ini bukanlah kebetulan semata-mata. Saya tahu Allah ada rancangan yg Maha Hebat.

saya tahu sesuatu perlu dilakukan tentang si Gemuk di blog ini.

mesti!

1 ulasan:

kejora berkata...

saya pun baca...alhamdulillah :)